Abi Abbas r.a telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredhaan manusia, Allah akan memurkainya dan Allah akan menjadikan setiap yang diredhainya itu benci terhadapnya. Dan orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredhainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredhaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya, nescaya ia mendapat perhatian Allah(Diriwayatkan oleh al-Tabrani)
Setiap manusia sering mencari kemewahan dan kelazatan hidup di dunia. Manusia hanya memikirkan kejayaan yang bakal mereka kecapi di dunia semata-mata dengan memuaskan hati manusia lain dan diri mereka sendiri.Kadang-kala manusia terlupa. Lupa akan Pencipta yang menjadikan seluruh alam yang terbentang luas, langit yang membiru, laut yang tenang, bukit dan gunung yang gah serta makhluk paling sempurna di muka bumi ini iaitu manusia sendiri. Pencipta yang menjadikan kejayaan suatu kejadian yang paling agung bagi manusia, yang menjadikan akal yang berfikir setiap hari untuk mencari kejayaan serta yang menjadikan tubuh badan yang sempurna dan dapat berfungsi mengikut kemampuan manusia bagi mengecapi kejayaan tersebut.
Manusia hanya memikirkan cara untuk menjulang kejayaan di dunia dengan mengharapkan keredhaan manusia semata-mata. Manusia hanya mahu mereka diagungkan di dunia dan hanya melintasi impian dan harapan manusia dalam fikiran mereka. Manusia terlupa. Ya, sekali lagi, manusia terlupa untuk mengharapkan keredhaan Pihak lain. Pihak yang setia memberi kejayaan demi kejayaan untuk manusia sedar dan bertaubat terhadapNya. Manusia lupa mengharapkan keredhaan Sang Pencipta Yang Maha Kuasa. Manusia sering terleka dengan indahnya dunia tanpa memikirkan Penciptanya.
Dalam kehidupan ini, kita sering terleka dengan urusan dunia, kita juga beribadat kepadaNya, menunaikan solat lima waktu dan dhuha, berpuasa fardhu dan sunat serta menghormati ibu bapa dan para pengajar. Kita lakukan semua itu untuk apa? Manusia mengejar urusan dunia untuk memperoleh kejayaan dan kemewahan dunia. Manusia melakukan ibadat untuk apa? Mengaku sahajalah. Manusia menunjukkan taqwa kepada Allah hanya kerana ingin mendapat ganjaran, ganjaran pahala dan syurga. Malah, lebih teruk lagi, ada segelintir manusia hanya mahu nama dan kedudukan di mata masyarakat. Na'uzubillahiminzalik.
Sedarlah wahai manusia, kita hidup di muka bumi ini kerana Allah. Kita dapat bergerak ke sana sini kerana Allah. Kita dapat bermwah-mewahan dengan rezeki di dunia hanya kerana Allah. Kita juga dapat beribadat dan insyaAllah memperoleh ganjaran daripadaNya hanya kerana Dia Yang Maha Satu.
Keredhaan Allah sangat penting sepanjang kehidupan kita di dunia ini. Setiap perbuatan dan niat haruslah didahulukan kerana Allah. Niat sangat penting dalam memandu hati dan tubuh badan kita. Lupakan ganjaran, lupakan syurga, lupakan pahala. Kerana kita hidup di sini, kita beribadat di sini, dan kita menulis di sini hanya untuk mencari keredhaan Allah. InsyaAllah.
1 comments:
sebelum membuat sesuatu juga , kita perlu fikir,
"adakah apa yang aku lakukan ini Allah redho?" :)
Post a Comment