Keluhan Rasa Dari HAWA Khas Untuk ADAM

Sunday, October 2, 2011


Bismillahirrahmanirrahim..


Didoakan semoga kalian beroleh selamat di bawah lndungan payung rahmat Allah swt amin..

Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kau kesunyian di syurga dulu. Aku asalnya dari ulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu. Sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku 'buruan syaitan'.



Adam,
Maha suci Allah yang mentaqdirkan kaumku lebih ramai daripada bilangan kaummu di akhir zaman. Itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya. Jika bilangan kaummu mengatasi bilangan kaumku, nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana. Adam sesama Adam bermusuhan sesamanya kerana Hawa. Buktinya sudah cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari satu waktu.


Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Tetapi, aku risau, gundah-gulana menyaksikan tingkah lakumu. Kau sejak dulu lagi tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun, terasa berat pula a\untuk menyatakan isi perkara.


Adam,
Aku tahu bahawa kau tahu di dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan "Kaum lelaki adalah penguasa kepada kaum wanita". Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, mengawasi dan menjaga aku agar aku sentiasa dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku ini. Aku dan kaumku telah menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Jalan-jalan, pasar-pasar, bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti dibalut dari hujung kaki hingga hujung rambut. Tapi, realiti dan hakikatnya kini, Hawa telah berbuat lebih dari patut.


Adam,
Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, "Itu sudah tentu", katamu. Aku ibu dan guru pada anak-anakmu. Tapi sekarang, di waktu yang sama, aku ke medan menguruskan hal negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk-duduk sahaja. Ada di antara yang menganggur tiada bekerja. Kau perhatikan sahaja aku memanjat tangga di pejabat bomba. Kainku tinggi menyingsing paha mengamankan negara. Apa kau sekarang ini tidak lagi seperti dulu? Apakah telah hilang kasih sucimu terhadap diriku?

Adam,
Marahkah kau jika kukatakan, "Andainya Hawa yang terpesong, maka Adam yang patut tanggung".? Sebab apa Adam? Ramai orang berkata, "Jika anak jahat, emak bapak tak pandai didik. Jika murid bodoh, guru yang tak pandai ajar". Adam, kau selalu berkata, "Hawa memang degil, tak mahu dengar kaat, tak mudah makan nasihat, kepala batu!". Pada hematku yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu. Apkah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi S.A.W terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Apakah akhlak Adam boleh dijadikan contoh buat kaum Hawa?

Adam,
Kau sebenarnya imam dan aku adala makmum. Aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. jika kau lalai, maka lalailah daku. Wahai Adam, kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sepuluh, nafsumu satu. Aku? Akalku satu, nafsuku beribu!
Oleh itu Adam, pimpinlah tanganku keranaku sering lalai dan lupa, sering tergelincir ditolak kekencangan nafsu dan keganasan konco-konconya. Aku kini hampir tenggelam, Adam.
Tolonglah!

Adam,
Aku suka kalau kau mengimami sembahyangku pada setiap awal waktu. Akanku aminkan bacaan doamu. Lebih aku suka kalau kau bangunkan aku untuk bertahajjud bersamamu. Kau kenalkan aku masjid-masjid dan majlis ilmu. Kau ajari aku untuk pandai membaca dan memahami Kitab SuciNya, Imamku. Kau ajaklah aku untuk baca Yasin bersamamu di malam Jumaat yang penuh berkat. Kau khabarkan aku tentang fardhu-fardhu yang patut aku tahu. Tunjukkanlah aku perkara sebenar yang patut aku amalkan.

Adam,
Akhirnya, ajarkanlah aku agar aku menjadi isterimy yang solehah. Didiklah aku supaya aku tunduk, patuh dan menghormatimu setiap waktu. Tolonglah aku, Adam, agar aku tidak beku, bantulah aku agar otakku tidak buntu. Selamatkanlah aku dari seksa neraka yang sudah tentu tiada siapa akan sabar menanggungnya.
Na'uzubillahiminzalik.

Sekian, Wassalam.

Daripada,
Hawa Temanmu.

Dipetik dan Diubahsuai :
Majalah MIDAD HUFFAZ IPT Al-Quran Wal Qiraat,
Lujnah Penerbitan 1996 & 1997,
Persatuan Kebajikan,
Institut Tahfiz Al-Quran,
JAKIM.



1 comments:

PaK PiS said...

motivasi pada diri saya sendiri .. syukran... ^_^

Post a Comment